Views: Dari Kerteh ke Hatyai..

Friday, December 16, 2005

Dari Kerteh ke Hatyai..

Perjalanan dengan bas bermula lebih kurang jam 11.30malam. Perjalanannya panjang, saya tahu tapi selok-beloknya saya sudah cukup biasa. Saya bercadang untuk tidur awal untuk hari esok yang sudah sekian lama ditunggu tetapi mata tidak mahu lelap. Perjalanan yang panjang sering membawa minda saya menyusuri kembali ataupun 'rewind' kenangan-kenangan lama yang berliku di dalam jangkamasa hayat yang singkat ini. Perjalanan sebegini cukup menyeronokkan tetapi maknanya lebih besar apabila ia membawa saya untuk melihat kembali watak yang saya telah mainkan didalam kehidupan yang ibarat sandiwara ini.

Lampu-lampu di jalanan menerangi gelap malam yang kian kelam. Sewaktu kecil dahulu, saya amat gemar untukmemerhatikan lampu yang berkilauan atau pun apa juga objek bercahaya yang menghiasi di sepanjang perjalanan.Mata biarpun makin kuyu atau hampir terpejam tidak pun mengaburkan pandangan terhadap memori yang menjelmakan peristiwa-peristiwa lampau dengan imej yang cukup jelas dan terang. Perjalanan hidup suku abad ini pun bermula. Rasa ingin tahu sejauh mungkin, tapi keupayaan minda cuma membawa saya ke umur 5 atau 6 tahun sahaja.

Pengembaraan ini membawa saya ke sekolah rendah, sekolah menengah, A-level, universiti sehinggalah kealam pekerjaan. Memang hidup ini cukup singkat. Tapi percaturan didalam hayat yang singkat inilah yang akan menentukandi mana letaknya kita manusia di sisi Allah pada kehidupan akhirat yang tiada penghujungnya. Kadang-kadang saya berasa sudah cukup lama berada dialam kerjaya yang pada hakikatnya belum pun sampai 4 tahun ini. Sepanjang tempoh itu jugalah dikurniakan anugerah masa untuk menabur kembali jasa kepada bonda dan keluarga tersayang; paling kurang dari sudut ekonomi. Apalah sangat 4 tahun jika dibandingkan dengan lebih 20 tahun ibu, ayah dan keluarga membentuksaya.

Dari dalam kandungan, ke peringkat bayi, kanak-kanak sehinggalah peringkat persekolahan, terlalu besar pengorbanan yang dicurahkan untuk membesarkan anak-anak yang berderet, paling kurang untuk menjadikan kami manusia yang lebih baik dari mereka.Alhamdulillah, saya bersyukur kerana malam itu saya diberi peluang untuk merenung diri dari perspektif yang jarang saya terokai. Kadang-kadang, kasih ibu sukar untuk ditafsir dan difahami. Apatah lagi pada jarak umur yang agak besar (saya dilahirkan semasa ibu berumur 40 tahun), saya sendiri pun kadang-kadang sukar untuk menghargai dan memahami zaman dan sistem yang dilalui yang membentuk dan mewarnai generasi yang terdahulu.

Jam di tangan menunjukkan pukul 4.00 pagi apabila kami tiba di Kota Bharu. Udara pagi Kota Bharu tidak sedingin seperti di dalam bas pesiaran yang kami naiki. Masing-masing mundar-mandir seketika apabila turun dari bas sebelum menuju ke sebuah hotel tidak jauh daripada Dataran MPKB. Di hotel, biliknya luas macam dormitori semasa belajar di sekolah asrama dahulu. Saya kira tidak kurang daripada 10 katil 'double decker' terdapat di dalam bilik tersebut. Masing-masing membaringkan diri di katil merehatkan lenguh badan sementara menunggu masuknya waktu Subuh.

Apabila azan kedengaran, saya dikejutkan oleh sahabat saya, Abdul Aziz dan kami sama-sama meredah kedinginan fajar menuju ke surau yang terletak bersebelahan pasar. Suasana surau cukup meriah kerana lokasinya yang terletak tidak jauh dari stesen bas. Penumpang-penumpang yang baru tiba dari destinasi jauh memenuhi surau tersebut untuk menunaikan solat fardhu Subuh.

Sebelum menyambung perjalanan, kami sempat bersarapan nasi kerabu di atas pasar. Awal pagi sebegitu di tambah pula dengan hari Jumaat menyebabkan tidak banyak kedai makan yang dibuka. Kami duduk di atas 'kkudo' (loghat Kelantan, normally referred to wooden stool) sampai menikmati juadah pagi sementara peraih-peraih mula memenuhi pasar dengan barang-barang jualan mereka. Jarang sekali berpeluang untuk bersama dengan masyarakat sebegini yang hidup di atas titisan peluh untuk mencari rezeki - berbeza dengan masyarakat Kerteh yang rata-ratanya senang-senang belaka. Ini mengingatkan saya betapa hidup yang selesa yang cukup mengasyikkan kadang-kadang boleh menyebabkan kita lupa akan suasana masyarakat di luar sana....sama ada di tanahair sendiri mahupun di merata pelosok dunia. Peperangan, kemelaratan dan kebuluran adalah antara peristiwa dan bencana yang mencengkam umat Islam di serata dunia.

Kami tiba di Kompleks Imigresen Rantau Panjang hampir jam 9.00 pagi. Alhamdulillah, proses melalui imigresen tidak melalui jangkamasa yang panjang. Saya memang ternanti-nanti akan sektor perjalanan ini - dari Sungai Golok ke Hatyai. Jalannya cukup luas (dual carriage-way) walaupun tidak secantik lebuhraya-lebuhraya di Malaysia. Suasana di jalanraya cukup relaks, tidak seperti di Malaysia. Trafiknya tidak begitu sibuk dan pemandu pula nampak berhemah dan tidak terburu-buru. Pick-up truck dipenuhi dengan penumpang-penumpang yang duduk bersila di belakang - tentunya sudah cukup biasa dengan panahan terik mentari (tiada bumbung).

Suasana kampung di sepanjang perjalanan tidak jauh berbeza dengan suasana perkampungan di Malaysia. Mukabuminya rata berlatarbelakangkan kehijauan bukit di kaki langit. Masjid juga tidak sukar ditemui. Wanita-wanita bertudung boleh dilihat di mana-mana, terutamanya yang membonceng motosikal dan yang menjadi penumpang pick-up truck.

Tempat ini ternyata cukup mesra walaupun asing !

(Coretan pada 1 dan 11 Oktober 2001)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

[ View Guestbook ] [ Sign Guestbook ]
Get a FREE guestbook here!